Kita seharusnya menyedari dengan keyakinan yang hakiki bahawa kita telah mempunyai segalanya pada masa ini, kerana dengan menghayati apa yang kita miliki pada waktu inilah baru kita dapat merasai kehidupan yang diimpikan. Kita mesti belajar untuk menerima dan reda terhadap kehidupan kita pada masa ini. Kita hidup di dunia yang serba cukup, walaupun majoriti manusia berpendapat bahawa dunia ini kejam dan sentiasa tidak cukup.
Sebenarnya, anugerah Allah adalah tidak terbatas; ia merangkumi perkara-perkara baik, perkara-perkara yang indah dan pengalaman yang menarik dan berguna. Segalanya adalah mencukupi bagi semua makhluk-Nya, sentiasa cukup! Selama ini kita telah tertipu, kita telah dipengaruhi oleh pendapat yang tidak benar yang mengajar kita bahawa hidup ini penuh derita, sengsara dan sumber-sumber yang terhad. Hakikatnya, kehidupan kita serba cukup dan kita mampu memiliki apa yang kita mahu.
Hasan al-Basri ketika ditanya tentang rahsia zuhudnya, dia menjawab:
"Aku tahu rezekiku tidak akan diambil orang lain, kerana itulah kalbuku selalu tenang. Aku tahu amal perbuatanku tidak akan dapat ditunaikan orang lain, kerana itulah aku sibuk mengerjakannya. Aku tahu Allah mengawasiku, kerana itulah aku selalu merasa malu Dia melihatku dalam keadaan maksiat. Aku tahu kematian itu sudah menungguku, kerana itulah aku selalu menambah bekal untuk hari pertemuanku dengan Allah."
Ramai daripada kita berfikiran bahawa siapa kita, apa yang kita ada, apa yang kita lakukan, adalah tidak mencukupi. Ini adalah satu pendapat yang salah. Kita telah belajar tentang Hukum Tarikan, dan bila mana tanpa kita sedari kita masih beranggapan bahawa kita belum serba cukup dalam hidup, kita sebenarnya menarik gelombang ketidakcukupan ke dalam hidup kita.
Kita mesti mengakui bahawa diri kita pada saat ini adalah cukup sempurna sebagai manusia, dalam konteks kesempurnaan seorang hamba. Kita cukup sempurna, sebagaimana diri kita sekarang ini. Sekiranya kita tidak mahu mengakui hakikat ini, kita akan sentiasa merasa tidak puas hati dengan apa yang kita ada, dan kita akan merasa sukar untuk mensyukuri nikmat-Nya. Barang siapa yang mengira lenyapnya kasih sayang Allah daripada ketetapan (qadar) Allah, pemikiran ini adalah kerana dangkalnya pandangan iman.
Menduga-duga tentang pemberian Allah, terutama dengan berburuk sangka ke atas nikmat-nikmat-Nya adalah perbuatan dosa. Seorang hamba dilarang menduga bahawa Allah telah mengurangkan kasih sayang dan pemberian-Nya kerana sesuatu bencana yang sedang dialami oleh si hamba tadi. Bagaimana kita membuat ukuran untuk berasa puas hati dengan hidup dan seterusnya bersyukur?
Kita tidak perlu menunggu sehingga segala impian kita tercapai untuk dapat menikmati dan menghayati rasa kecukupan dalam hidup ini. Jika kita berfikiran begini, kita tidak akan dapat merasai nikmat kehidupan dan kita tidak akan berupaya untuk berasa ikhlas dalam mengucapkan syukur kita kepada Allah.
Apa kata jika kita selarikan fikiran dan perasaan kita dengan rasa serba cukup? Anda adalah sempurna sebagai seorang manusia. Anda adalah seorang yang mempunyai segalanya daripada segi rohaniah, jiwa dan semangat; yang membolehkan anda memiliki apa yang anda inginkan dalam kehidupan dan mencapai cita-cita dan matlamat hidup anda.Berpuas hati dan bersyukurlah dengan apa yang anda telah miliki sekarang ini.
Katakanlah pada diri anda, "Aku berpuas hati dengan apa yang aku telah miliki, dengan segala yang telah dikurniakan Allah kepadaku selama ini - kasih sayang, kebahagiaan, perlindungan, keselamatan, segalanya ada padaku, anugerah dari Allah yang Maha Kaya Raya, Maha Suka Memberi, Maha Pemurah, Maha sebaik-baik pelindung."
Mulakan dari saat ini, dengan apa yang telah ada pada kita pada saat ini. Tetapkan matlamat kita, kenal pasti apa yang kita inginkan, yakini bahawa kita pasti akan dapat mencapai matlamat dan apa jua impian kita. Cuba rasakan bahawa kita telah pun mencapainya. Apabila kita memohon dengan 1husnul zhon dan penuh rasa syukur kerana telah dapat menghayati rasa cukup dalam hidup, 2InsyaAllah, doa kita akan cepat dimakbulkan. Oleh sebab itulah, kita bukan sahaja perlu memahami Hukum Tarikan bahkan juga memahami Hukum Kecukupan.
Allah menciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian, sesempurna kejadian seorang manusia yang diberi tugas besar sebagai Khalifah di muka bumi ini. Maka, Allah telah membekali manusia dengan pelbagai keistimewaan berbanding makhluk Allah yang lain.
Masihkah anda ingat akan firman Allah mengenai kecukupan alam?
Maksudnya: "Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi, dan menurunkan hujan dari langit lalu mengeluarkan dengan air hujan tadi, buah-buahan untuk menjadi makanan bagi kamu, dan dia yang memberi kemudahan kepada kamu menggunakan kapal-kapal untuk berlayar di laut dengan perintah-Nya, juga yang memudahkan sungai-sungai untuk kamu mengambil manfaat darinya. Dan dia juga yang menjadikan matahari dan bulan sentiasa beredar, untuk kepentingan kemudahan kamu, dan dia yang menjadikan malam dan siang bagi faedah hidup kamu. Dan dia telah memberi kepada kamu sebahagian daripada tiap-tiap apa jua yang kamu hajati. Dan jika kamu mahu menghitung nikmat Allah, nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia yang ingkar sangat suka menempatkan sesuatu bukan pada tempatnya, lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya."
(Surah Ibrahim: Ayat 32-34)
Kita dihidupkan dalam satu keadaan di mana diri kita bersambung dengan aliran tenaga. Apabila kita telah membuat keputusan untuk mengubah cara berfikir kepada sentiasa cukup, maka kita telah menarik tenaga-tenaga sentiasa cukup itu dalam hidup kita. Kecukupan/kesempurnaan bukan bermakna hanya cukup-cukup, tetapi mewah dan tidak putus-putus. Segala yang anda inginkan, anda boleh perolehi dengan jumlah yang maksima.
Kebahagiaan tidak diukur dengan jumlah wang, berapa besar rumah anda, atau berapa mahalnya kereta anda, tetapi kebahagiaan sebenarnya adalah apabila anda benar-benar merasakan kebahagiaan dalam hati anda, dengan apa yang telah anda miliki, dan juga apabila anda mendapati hati anda berasa tenang dan aman dengan apa yang anda ada pada hari ini (tidak lagi merasakan anda perlu itu, perlu ini, baru anda boleh senyum).
Apabila kita telah berjaya mengajar diri kita untuk mendapat kebahagiaan dalaman (jiwa/rohani), barulah kita dapat menarik kebahagiaan material (luaran) ke dalam kehidupan kita (semak Hukum Tarikan dan frekuensi positif). Maka, terapkan dalam hati kita sekarang ini, "Aku bersyukur dan bahagia dengan apa yang Allah kurniakan kepadaku selama ini - I have plenty." Bersyukurlah dan berbanggalah dengan apa yang anda ada sekarang. Dari situ, anda akan dapat menambahkan lagi apa yang anda belum capai.
Firman Allah s.w.t., maksudnya:
"Sesungguhnya, kami telah kurniakan hikmat (ilmu pengetahuan) kepada Luqman, supaya dia bersyukur kepada Allah, dan sesiapa yang bersyukur, sebenarnya dia telah bersyukur bagi faedah dirinya sendiri, dan sesiapa yang ingkar, sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Terpuji."
(Surah Luqman: Ayat 12)
dipetik dari;
http://www.iluvislam.com/v1/readarticle.php?article_id=2852